Apa yang dimaksudkan dengan berpantang?



Menurut kamus Dewan Bahasa Edisi ketiga, berpantang bermaksud sesuatu yang dilarang dilakukan mengikut adat dan kepercayaan. Bagi wanita yang baru melahirkan anak, mereka dilarang melakukan perkara atau memakan sesuatu sehingga tamat tempoh berpantang iaitu selama 44 hari. Meskipun terdapat satu pihak iaitu pakar perubatan yang tidak bersetuju dengan amalan pantang larang ini, namun ia telah menjadi kepercayaan dan ikutan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi.

Berpantang secara alami tidak akan memudaratkan jika tidak diamalkan secara keterlaluan. Hakikatnya tempoh berpantang itu sendiri adalah proses pemulihan dan emosi ibu. Seelok-eloknya amalan ini haruslah tidak bertentangan dengan kaedah rawatan moden. Kebiasaannya tempoh bersalin adalah selama 44 hari. Namun ada pihak yang melanjutkan tempoh berpantang sehingga 100 hari untuk tidak bersama suami demi kebaikan jangka panjang.

Selain itu, amalan berpantang ini adalah untuk memastikan badan si ibu benar-benar pulih dan sihat, memerhatikan kitaran haid yang betul bagi perancangan keluarga. Manakala rawatan badan luar dan dalam serta pemakanan perlu dikawal dengan ketat sehingga tamat tempoh berpantang.

Proses rawatan semasa pantang adalah wajib dilakukan oleh setiap wanita yang baru melahirkan bayi. Ini kerana rawatan ini perlu dilakukan ekoran kebanyakan wanita mengalami pelbagai komplikasi semasa proses kelahiran bayi mereka termasuk menggunakan banyak tenaga terutama semasa menahan kesakitan, dan ketika meneran bayi keluar, urat saraf menjadi tegang dan kadang kala terasa kejang. Malah ada juga diantara ibu yang mengalami kekurangan darah kerana banyak kehilangan darah semasa bersalin.

Rawatan berpantang ini perlu dilakukan secara konsisten supaya ia dapat mengembalikan bentuk tubuh badan terutamanya amalan pemakanan harian, ibu perlu memakan makanan yang berkhasiat dan meminum air sekurang-kurang sebanyak 3 liter sehari. Semasa proses penyembuhan ini pemakanan menjadi aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Pengambilan suplemen juga dapat membantu ibu untuk menambah kekurangan nutrisi di dalam badan.

Selain itu, ibu-ibu perlu mendapatkan rehat yang cukup untuk mengelakkan rasa pening. Bagi ibu-ibu yang pertama kali merasai pengalaman ini, mereka akan menghadapi 'baby blues' dimana waktu tidur mereka diganggu pada waktu malam kerana bayi menyusu dan meragam.

Maka dengan itu apabila bayi tidur si ibu perlu mencari ruang untuk melelapkan mata seketika. Ada kemungkinan rasa tertekan dengan suasana baru akan muncul, ibu-ibu dinasihatkan untuk mengawal perasaan dan memastikan mendapat rehat yang cukup.

Pemakaian stokin dan baju panas juga sangat penting untuk mengelakkan angin masuk ke dalam tubuh dan bentan. Menurut orang-orang tua, sekiranya tidak memakai stokin dikhuatiri akan tersepak benda-benda keras sekaligus mengakibatkan tumpah darah.

Amalan berurut, bertungku, bertangas, berbengkung, mandi herba, pilis dan lain-lain adalah perlu untuk mempercepatkan pemulihan badan termasuk melancarkan perjalanan darah, mengecutkan peranakan, mengembalikan kesegaran badan, mengelak urat saraf dimasuki angin dan lain-lain.

Kepada ibu-ibu yang baru melahirkan, selamat berpantang.

No comments