Bila tengok gambar baby teringat pengalaman masa bersalin tiga tahun yang lalu. Pengalaman bersalin anak pertama sangat mudah, Alhamdulillah dapat bersalin normal dan baby dapat pulang ke rumah tanpa ada masalah. Muhammad Afif Safwan dilahirkan pada 19 September 2011 [35/36 minggu] pada jam 5.04 pagi dengan berat 2.3 kilogram. Tubuh dia sangat comel, rasa takut nak pegang. Cuma pada hari kelima, Afif diminta check darah di Klinik Anika, Klang kerana jaundis. Masa tu hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat anak kecil yang baru lahir dimasukkan semula ke hospital. Sedih sangat bila tengok kaki kecil yang comel dicucuk dengan jarum. Kalau kita yang besar ni pun dah rasa sakit, apatah lagi anak kecil.

Afif ditahan wad tidak lama, hanya sehari sahaja. Walau sehari rasa macam setahun je. Makcik bukan suka duduk kat hospital lelama. Naik kematu jiwa, rasa sakit sepanjang masa.
Okay tu kisah Afif, sekarang pun afif dah tiga tahun lebih. Semakin kuat makan, semakin sihat, semakin petah bercakap, ada saja ngomelan dia dan semakin bijak. Syukur tak terkata pada yang Maha Esa atas kurniaan Nya.

Berbalik pada tajuk, yang saya nak ceritakan adalah kisah Nicha. Saya tidak menyangka akan mengandungkan Nicha ketika Afif berusia 4 bulan. Terkejut sangat, rasa macam tak percaya dan tak bersedia untuk mengandung lagi. Namun saya tetap redha, mungkin ini ketentuan tuhan. Kata orang sudah rezeki, elok lah mengandung masa muda-muda ni.

Perjalanan selama mengandungkan nicha tidak ada banyak masalah, cuma apabila masuk lima bulan saya dapati ada cecair keputihan tidak berbau yang sangat likat keluar dari faraj. Masa tu saya fikir ia tidak lah serius. Sampai lah usia kandungan saya tujuh bulan saya terjumpa satu artikel dah tak ingat kat mana, mengenai bahaya keputihan. Lepas dari baca artikel tersebut saya menggesa suami saya untuk check up di Hospital Bersalin UMRA Shah Alam. Kebetulan saya memang merancang untuk bersalin Nicha di UMRA.

Saya mengadu pada doktor yang keputihan sering keluar dari faraj. Doktor terus ambil sampel untuk bawa ke makmal. Seminggu selepas itu, Hospital Bersalin UMRA call saya untuk memberitahu keputusan sampel sudahpun keluar, mereka meminta saya untuk datang ke UMRA berjumpa dengan doktor. Berita yang saya terima adalah berita yang kurang baik, saya disahkan jangkitan GBS positive atau nama penuhnya Group B Streptococcus.

Apa itu Group B Streptococcus?

Group B Streptococcus atau GBS, adalah salah satu daripada pelbagai jenis bakteria yang biasanya hidup di dalam badan manusia. Kira-kira satu per tiga daripada kita "membawa" GBS di dalam usus tanpa kita sedari. 

Kira-kira ¼ daripada wanita mempunyai GBS di dalam faraj mereka. Kebanyakan wanita tidak mengetahui bahawa mereka dijangkiti GBS kerana biasanya ia tidak mendatangkan masalah atau menunjukkan simptom-simptom tertentu.

Walau bagaimanapun, dalam kes-kes yang jarang berlaku, GBS boleh menyebabkan penyakit yang serius dan boleh menyebabkan kematian kepada bayi yang baru lahir. Walaupun kes-kes ini luar biasa, GBS merupakan punca jangkitan yang teruk kepada bayi yang baru dilahirkan, terutamanya pada minggu pertama selepas kelahiran (dikenali sebagai jangkitan permulaan awal).

[sumber : babycenter.com]

Mula bimbang rasa nak beranak dah.

Bila dapat tau mengenai jangkitan ini saya mula bimbang dengan nasib Nicha yang ketika itu masih dalam kandungan. Doktor mengesyorkan untuk bersalin secara ceaserean kerana risiko diserang jangkitan amat rendah berbanding normal. Namun sekiranya saya memilih untuk bersalin normal, 2 jam sebelum kelahiran saya perlu disuntik antibiotik. Walaubagaimana pun doktor sekali lagi menegaskan bahawa risiko bersalin normal sekiranya tidak sempat untuk memasukkan antibiotik ke dalam badan akan menyebabkan jangkitan pada bayi.


Hati mula resah menghitung hari. Fikiran bercelaru, akhirnya saya buat keputusan untuk minta second opinion di hospital kerajaan. Belum pun sempat nak minta pendapat dari doktor kerajaan tiba-tiba tanda darah mula muncul pada usia kandungan mencecah 33 minggu.

Panik!

Rasa belum sampai lagi due bersalin. Arghh! Takut! Saya terus mengadu dengan mak. 

Apa perasaan mak pada masa itu? Apa akan terjadi pada kandungan saya? Adakah saya bersalin secara ceaserean atau normal?

Bersambung ke part 2.



No comments