Semenjak kebelakangan ini saya selalu berfikir tentang pemakanan yang baik dan seimbang untuk anak-anak saya. Bagaimana caranya saya ingin mengajar mereka untuk memakan makanan yang sihat?
Seperti yang anda tahu, kanak-kanak paling cerewet dalam soal makanan, jika tidak diajar ketika kecil kemungkinan besar mereka akan terbiasa apabila dewasa kelak.
Sebagai ibu bapa yang prihatin dan mahukan anak-anak berjaya dalam kehidupan, anda perlulah melabur dalam kesihatan mereka. Berusahalah untuk memberi makanan yang pelbagai, seimbang dan berkhasiat agar anak-anak dapat membesar dan kekal sihat.
Pemilihan dan amalan pengambilan makanan sihat perlu diterapkan di kalangan kanak-kanak. Berikut adalah panduan am untuk membantu anda memilih makanan sihat untuk anak-anak agar mereka dapat makan secara sihat dan belajar menikmati makanan berkhasiat. Anda juga boleh bekalkan mereka makanan yang berkhasiat disediakan di rumah. Sekiranya ada majlis-majlis di sekolah yang perlukan sumbangan makanan, bekalkan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan potong yang digaulkan dengan jus lemon dan sebagainya.

1.                  Gunakan Maklumat Yang Positif
Beritahu anak-anak bahawa semua makanan boleh memenuhi keperluan pemakanan yang sihat. Tidak ada makanan yang baik atau tidak baik. Kunci utama pemakanan sihat ialah pilihan dan pengambilan makanan secara sederhana. Ajar mereka mengenai pemakanan yang baik dengan cara yang mudah seperti Yogurt dan susu boleh membantu perkembangan tulang yang kuat atau lobak merah membantu anda melihat dalam keadaan yang gelap.
2.                Tumpukan Kepada Pemilihan Makanan Yang Kaya Dengan Nutrien
Sentiasa galakkan anak anda untuk memilih makanan yang kaya dengan nutrien di kantin sekolah. Ajar mereka untuk sentiasa memilih makanan seperti:
ü  Buah-buahan pelbagai warna sebagai snek berbanding gula-gula.
ü  Sayur-sayuran beraneka warna.
ü  Makanan yang diperkaya dengan nutrien, bijirin penuh dan yang tinggi serat.
ü  Minuman bersusu berbanding minuman kordial.
ü  Hidangan yang kurang berminyak dan bergula.
ü  Hidangan yang mengandungi produk kekacang seperti tempe dan tauhu selain ayam, daging dan ikan.
3.                Tetapkan Peraturan Makanan Keluarga
Kanak-kanak lebih mudah memilih makanan sekiranya mereka tahu peraturan pemakanan keluarga. Contohnya, setiap ahli keluarga wajib bersarapan pagi setiap hari, susu ialah minuman pilihan selepas makan malam atau snek di sekolah perlulah daripada 5 kumpulan makanan dalam piramid makanan dan yang kurang minyak, garam dan gula.
Tetapkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi apabila makan di luar, seperti memesan air buah-buahan atau air kosong.
4.                Jadi Contoh Yang Baik
Kanak-kanak mudah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan orang yang rapat dengan mereka. Sebagai ibu bapa, pemilihan makanan yang anda buat akan mempengaruhi anak-anak. Jika anda memilih makanan yang sihat, anak-anak juga akan mencontohi anda.
Selain menunjukkan contoh tabiat makan yang sihat, bincang dengan anak-anak tentang Panduan Piramid Makanan dan pelbagai sajian makanan lazat yang boleh dinikmati.
5.                 Masak Bersama
Kanak-kanak lebih teruja dan berminat untuk mengambil makanan sihat apabila mereka diberi peluang untuk menyediakan makanan. Libatkan mereka semasa menyediakan hidangan. Benarkan mereka menambah apa yang mereka gemar dalam makanan mengikut kreativiti mereka. Adakan sesi permainan masak-memasak bersama kawan-kawan mereka atau pergi ke kelas masakan bersama mereka.
6.                Membeli Makanan Bersama
Libatkan anak-anak semasa membeli belah atau ajak mereka sama-sama menanam sayur atau buah di kebun, sekiranya ada. Pilih makanan yang kaya dengan nutrien. Bantu anak memilih satu atau dua bungkusan makanan snek kegemaran mereka yang kaya dengan nutrien untuk dibawa ke sekolah.
7.                 Bincang Berkenaan Pilihan Makanan Sihat
Selalulah berbincang dengan anak anda berkenaan pemilihan makanan dan mengapa pemakanan sihat itu penting untuk pembelajaran dan menjadi lebih aktif di sekolah. Sama ada di restoran makanan segera, kantin sekolah atauvending machine, galakkan mereka untuk memilih makanan yang berkhasiat seperti minuman bersusu atau jus buah-buahan berbanding minuman berkarbonat, dan sandwich berbanding keropok kentang. Jelaskan kepada mereka bahawa anda selalu memilih makanan berkhasiat apabila membeli barangan dapur atau apabila makan di luar.
8.                Pastikan Makanan Berkhasiat Mudah Diperoleh
Sediakan bekalan makanan berkhasiat di rumah. Ini termasuklah pelbagai buah-buahan seperti pisang, jambu batu, epal dan oren serta sayur-sayuran yang boleh dimakan mentah seperti salad, timun dan tomato (tidak ramai anak-anak yang makan sayur mentah) dan susu rendah lemak atau susu berperisa, keju, yogurt, snek bijirin penuh atau rendah lemak dan biskut bergula. Ingatkan anak anda bahawa mereka boleh memilih makanan ini jika mereka lapar dan memerlukannya dalam keadaan tergesa-gesa.
9.                Jadikan Waktu Makan Sebagai Waktu Bersama-Sama Keluarga
Jadikan waktu makan sebagai waktu yang penting untuk semua ahli keluarga. Waktu makan bersama-sama tidak hanya tertumpu pada waktu makan malam, ia boleh juga pada sebarang waktu makan yang sesuai dengan anda.
Makan bersama-sama mampu menggalakkan pemakanan sihat. Libatkan anak semasa merancang dan menyediakan makanan. Ini akan membantu mereka belajar mengenai  kepentingan memilih makanan berkhasiat dan makan bersama-sama.

Sumber : myhealth.gov.my

No comments